Penyanyi Tomok Pasang Niat Genggam Ijazah Sarjana , Mahu Tunjuk Contoh Baik Buat Anak-Anak

Selepas berjaya menggenggam segulung ijazah tiga tahun lalu, penyanyi Tomok menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana.

Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 39, berkata, dia mahu menunjukkan contoh yang baik buat tiga anaknya supaya mereka turut sama mengikut jejak langkah ke menara gading suatu hari nanti.

"Satu perasaan yang tidak boleh digambarkan ketika hari konvokesyen di mana saya berada di dalam dewan dan menunggu nama saya dipanggil naik ke atas pentas.

"Kejayaan ini juga membuatkan saya mula pasang niat untuk sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya mahu buktikan umur bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu.

Tomok bangga dengan pencapain dalam bidang akademik.

"Saya juga mahu jadi contoh terbaik buat anak-anak. Saya mahu mereka belajar bersungguh-sungguh dan mengikut jejak langkah saya," katanya kepada mStar.

Tomok berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tamat konsert suku akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Vokalis kumpulan New Boys itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tomok yang menamatkan pengajian selama lima tahun pada 2020 baru sahaja selesai menghadiri majlis konvokesyen yang diadakan di UUM Sintok, Kedah baru-baru ini.

Dalam pada itu, Tomok berkata, kehidupan berkeluarga turut menjadi pendorong dia mahu menimba ilmu dengan matlamat untuk memajukan diri sendiri.

"Ketika muda dahulu mungkin sedikit nakal dan tak fikir nak belajar tinggi. Apabila sudah berkeluarga saya mula berfikir tentang kehidupan.

Pada usia sebegini saya berjaya buktikan sesiapa sahaja boleh terus belajar pada tanpa mengira umur atau status pekerjaan

"Pada usia sebegini saya berjaya buktikan sesiapa sahaja boleh terus belajar pada tanpa mengira umur atau status pekerjaan.

"Pendidikan ini sebagai satu jalan memperbaiki diri," ujarnya.

Sementara itu bercakap tentang perjalanan di program ASGV, Tomok tidak menyangka dia mampu mara ke peringkat separuh akhir meskipun penyertaannya adalah menerusi undian peminat (hot seat).

Dalam masa sama dia juga enggan mensia-siakan peluang ini dan pastinya mengharapkan status juara berpihak padanya dalam konsert akhir nanti.

"Saya bangga dengan pencapaian dalam ASGV ini. Sejak awal lagi saya tak terfikir pun akan sampai ke peringkat suku akhir kerana bertanding dengan juara-juara program Gegar Vaganza.

"Namun saya tidak mahu penyertaan ini hanya sekadar memenuhi ruang kosong. Mestilah saya mahu menang setiap kali masuk pertandingan. Jika bukan rezeki untuk menang, saya terima dengan hati terbuka," jelasnya.

Sumber:Mstar

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post