Berniaga Bermacam-Macam Asalkan Halal Dan Jana Duit , Hidayah Bangkit Berdikari Demi Anak

Kagum dengan usaha dan semangat Siti Norhidayah Mohd Ali. Meskipun pahit untuk ‘telan’ hakikat suami tersayang, Allahy4rham Abam Bocey sudah kembali ke rahmatullah namun wanita cekal ini enggan terus meratap kesedihan.

Sebaliknya kuat dan bangkit meneruskan hidup demi anak tersayang yang kini berusia tiga tahun.

Mendirikan rumah tangga dengan Allahy4rham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan pada 8 Disember 2017, perkahwinan mereka bertahan hampir tiga tahun apabila Abam mninggal dunia pada 10 Februari 2020.

Hasil perkongsian hidup, Abam dan Hidayah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffery yang lahir pada 14 Jun 2019.

Dua tahun menjalani hidup tanpa suami di sisi nyata bukan satu tugas mudah bagi Hidayah. Apatah lagi, anak mereka masih kecil dan memerlukan lebih perhatian.

Bagaimana pun, wanita berusia 30 tahun ini nekad mengubah nasib keluarga dengan menceburi perniagaan.

Produk pertama yang pernah dijual Hidayah selepas suami tercinta meninggal dunia ialah biskut coklat, kemudian berniaga buah durian, cempedak dan kini dia rancak menjual sabun pencuci muka Dieya Beauty.

Selain itu, Hidayah juga mengeluarkan produk Sambal Hidayah by Dapur Kak Nis yang mempunyai aneka perisa seperti Paru Crispy, Ikan Bilis Crispy, Ikan Bilis Petai Cili Api, Ikan Masin Cili Api, Hitam Belimbing Ori dan Tempoyak Bilis Petai.

Semakin minat berniaga, Hidayah pada 18 Oktober lepas melebarkan sayap perniagaan dengan membuka satu lagi cabang bisnes menerusi Jebat Auto Zone iaitu pusat cuci kereta dan detailing kenderaan.

Berkat doa dan kerja keras tersebut, Hidayah mampu tersenyum bangga apabila dapat memiliki kenderaan mewah hasil titik peluhnya sendiri. Semoga semangat dan perjuangan Hidayah sebagai ibu tunggal menjadi kekuatan buat golongan wanita bangkit daripada kesusahan hidup.

Sumber:HM

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post