Paling Terharu Murid Bagi RM2 . Acik Cleaner Bersara Dirai Macam Guru Besar , Duduk Di Seat Belakang , Ada Driver Hantar Balik

Dirai seperti guru besar atau pengetua, se0rang wanita diberi penghargaan besar-besaran sempena hari terakhirnya berkhidmat di sebuah sekolah.

Apa yang menjadi perhatian adalah pekerja pembersihan ini meninggalkan kawasan sekolah dengan menaiki kereta yang dibawa oleh seorang pemandu, tak ubah seperti seorang 'bos'.

Malah, semua kakitangan sekolah dan murid melambai-lambai ke arahnya dengan senyuman di sepanjang jalan menuju ke luar sekolah.

Berkongsi cerita, Hasyima Rozani berkata, kakitangan sek0lah yang diraikan sempena persaraan pada Jumaat itu merupakan ibu mentuanya, Hamidah Aziz, 59.

Bersara awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Seri Rahmat di Batu Gajah, Perak, katanya, ibu mentuanya telah berkhidmat sebagai pekerja pembersihan di sekolah itu selama 14 tahun.

“Pihak sekolah raikan mak yang bersara. Bukan saja cikgu-cikgu, tapi juga murid-murid turut sambut mak. Banyak hadiah dan surat serta kad ucapan yang mak terima.

“Biasanya mak ke sekolah naik motor. Hari terakhir tu, mak dihantar pulang ke rumah menaiki kereta milik guru penolong kanan 1 (PK1) dan PK1 yang pandu kereta. Mak duduk di belakang sambil melambai-lambai kepada semua kakitangan dan murid,” katanya .

Mesra disapa Syima, guru berusia 25 tahun itu terharu dengan layanan seluruh warga sekolah terhadap ibu mentuanya yang mencari rezeki sebagai pekerja pembersihan.

“Guru-guru kat sana baik-baik, mereka tak ada bezakan kita ni cleaner ke apa. Kalau ada jamuan makan, ada majlis atau rombongan, mereka tetap jemput mak join sekali.

“Majlis persaraan sebegini kalau di sekolah selalunya untuk pengetua atau guru besar, tapi mereka tetap buat khas untuk mak. Kami sekeluarga sedih terharu.

“Di sekolah, mak dikenali sebagai Makcik Midah. Tapi guru-guru panggil mak sebagai kakak, murid-murid panggil makcik,” ujarnya yang menyifatkan ibu mentuanya sebagai peramah, ceria dan kelakar selain pakar memasak.

Sementara itu, Hamidah yang menetap di Batu Gajah berkata, dia bukan pertama kali diraikan sejak berkhidmat di sekolah itu sebagai pekerja pembersihan, tetapi setiap tahun.

“Setiap tiga bulan pihak sekolah sambut hari jadi kakitangan termasuk cleaner. Mereka tak pernah lupa rai hari jadi saya bersama cikgu-cikgu,” katanya yang dilahirkan pada 28 Mei.

Pernah bekerja di kilang, Hamidah turut berkongsi momen membuka hadiah-hadiah yang diterima termasuk surat dan kad ucapan.

Namun paling menyentuh emosi dan mengejutkannya adalah sekeping kad ditulis tangan daripada seorang murid yang terselit dengan wang kertas berjumlah RM2.

Buat warga SK Kg Seri Rahmat, terima kasih yang tidak terhingga. Moga pencapaian lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Saya tidak berharap apa-apa pun. Anak kecil ini tak mampu beli hadiah, tapi terselit wang kertas RM2 dalam kad ucapan. Hadiah paling tidak ternilai kerana keikhlasannya.

“Murid-murid saya anggap macam cucu sendiri. Ada masa kami sembang, saya kongsi roti dan kuih, mereka kasi coklat,” katanya yang turut dikenali dengan masakan Laksa Penang.

Walaupun sudah bersara, nenek kepada empat cucu itu tidak pernah melupakan jasa baik warga SK Kg Seri Rahmat yang dianggapnya sebagai satu keluarga.

“Selama ni ada cikgu-cikgu datang ke rumah rasa masakan laksa Penang saya. Kalau rindu dengan sekolah, saya datang jenguk. Dekat je dengan rumah, cuma lima minit je naik motor.

“Buat seluruh warga SK Kg Seri Rahmat, terima kasih yang tidak terhingga. Moga mencatatkan pencapaian lebih baik dan cemerlang pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sumber:Mstar

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post