Rumah Kampung T20 , Cuma Bilik 1 Ja . Keluarga Selesa Tinggal Kediaman Canggih Ala Iron Man

hanya sebuah rumah kampung, namun siapa sangka di dalamnya dilengkapi dengan sistem teknologi canggih seperti kediaman pintar.

“Hey Google, turn on toilet,” kata seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di dapur yang memberi arahan supaya lampu tandas dipasangkan.

“Alright turning on the toilet light,” kedengaran 'suara' peranti yang telah diaktifkan membalas arahan sambil lampu tandas menyala serta-merta.

Di sebalik video tular yang meraih pujian netizen itu, rumah kampung yang canggih tersebut didiami pasangan suami isteri di Kampung Bukit Sekilau di Kuantan, Pahang.

Berkongsi cerita, Mohd Suib Farouk Zolkefli mengakui kediaman yang didiami bersama isteri, Athirah Aina Ab Razak sejak kira-kira empat tahun lalu sekadar rumah kampung yang cukup ringkas dan dilengkapi satu bilik tidur sahaja.

Mesra disapa Suib, dia berkata, rumah tersebut telah diubah suai sedikit tetapi masih mengekalkan ciri seperti kebanyakan rumah kampung.

“Rumah ni tak besar, ada satu bilik je. Siling tak ada, macam rumah kampung. Nak digambarkan macam rumah setinggan ya sebab berdindingkan kayu-kayu lama.

“Memang kecil je rumah ni. Ruang makan pun di dapur. Tapi kami selesa tinggal bersama anak-anak di sini,” katanya.

Mengenai sistem rumah pintar atau smart home di kediamannya, lelaki berusia 29 tahun itu berkata dia mendapat inspirasi daripada teknologi canggih di rumah Tony Stark lakonan aktor Hollywood Robert Downey Jr menerusi filem adiwira popular, Iron Man.

“Semuanya bermula dari minat saya terhadap Iron Man, semua filem dia saya tengok. Inspirasi daripada ‘Jarvis’ dalam Iron Man yang mentadbir rumahnya menerusi sistem AI (Kecerdasan Buatan).

“Pernah berangan nak jadi Iron Man, tapi angan-angan tu tinggi sangat. Ada smart home ala Jarvis ‘Iron Man’ untuk rumah kampung saya ni pun dah memadai,” ujar anak kelahiran Kuantan itu secara berseloroh.

Bagaimanapun, perjalanan untuk mempunyai kediaman yang dilengkapi dengan sistem rumah pintar itu tidak mudah dilakukan oleh bapa kepada dua cahaya mata ini.

Menurut Suib, dia perlu membeli kelengkapan dan memasangnya sendiri secara berperingkat selama lebih tiga tahun sejak 2020.

“Duit tak banyak, jadi beli dan pasang sikit-sikit. Mula-mula di ruang tamu, sebelum ke bilik tidur, dapur dan tandas.

Ini adalah kepuasan untuk diri sendiri demi keselesaan kami sekeluarga.

“Rumah saya ni tak ada siling, bumbung pula rendah jadi cepat panas. Bila balik dari kerja, nak tunggu sejuk ambil masa selepas pasang kipas.

“Nak pasang aircond pula kena banyak kos dengan bil elektrik lagi. Jadi dari luar dah boleh hidupkan kipas menerusi telefon pintar selagi ada internet,” 

katanya sambil menambah minatnya disokong isterinya yang merupakan suri rumah yang turut menjual marshmallow pop dan cookies pop secara kecil-kecilan.

Kiri anak perempuan menunjukkan 'speaker Google' dekat dapur dan kanan peranti di bilik tidur.

Mengakui tiada kemahiran dalam bidang elektrik, percaya atau tidak, pengusaha bisnes cuci kereta ini hanya belajar memasangnya sendiri daripada laman YouTube.

Selepas tiga tahun, teknologi canggih ini berjaya dipasang di dalam rumahnya termasuk boleh menghidupkan TV dan vakum secara automatik.

Suib menganggap 'rumah pintar'nya sebagai kepuasan untuk diri sendiri demi keselesaan sekeluarga.

“Bagi saya, ini adalah kepuasan untuk diri sendiri demi keselesaan kami sekeluarga. Ini juga memudahkan anak kecil kami tanpa perlu panjat untuk hidupkan 

suis dan tanpa perlu risau tangan basah terkena renjatan elektrik sebab boleh ‘on’ melalui pengesanan suara atau dari telefon pintar saja.

“Ada netizen komen rumah kampung selera T20, saya anggap ia sesuatu yang positif kerana saya seronok buat benda ni dengan hasil usaha sendiri.

“Rancangan akan datang nak pasang sistem kunci pintar untuk pintu rumah, dan mungkin juga pasang langsir yang boleh buka tutup secara automatik seperti di pejabat dan hotel. Tapi kena kumpul duit dululah,” katanya lagi.

Sumber:mstar

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post